Wang Panas

Friday, January 21, 2011

Pengambilan gula di Malaysia

Apakah corak pengambilan gula di Malaysia? 

  • Berdasarkan Kajian Pengambilan Makanan di Kalangan Orang Dewasa Malaysia 2002/2003, orang dewasa di Malaysia menambah 7 sudu teh sehari (51g) iaitu 4 sudu teh (21g)  gula pasir dan 3 sudu teh (30g) susu pekat manis ke dalam minuman mereka. Jumlah gula yang ditambah ke dalam minuman ini sahaja telah melebihi saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Panduan Diet Malaysia yang mencadangkan pengambilan jumlah gula sehari tidak melebihi 50g.

Apakah corak pengeluaran gula di Malaysia?

  • Data daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menunjukkan bahawa pengedaran gula di Malaysia semakin meningkat dari tahun ke tahun. Pengedaran gula domestik telah meningkat daripada 651,973.12 metrik tan pada tahun 2004 kepada 806,381.88 metrik tan pada tahun 2009. Sementara pengedaran gula industri pula telah meningkat daripada 306,895.34 metrik tan pada tahun 2004 kepada 474,801.16 metrik tan pada tahun 2009. Data ini menunjukkan bahawa pengambilan gula di kalangan rakyat Malaysia semakin meningkat dari tahun ke tahun. Ini mungkin disebabkan oleh harga gula yang murah.

Apakah kesan pengambilan gula secara berlebihan?

  • Pengambilan gula yang berlebihan boleh mengakibatkan pengambilan tenaga yang berlebihan.
  • Pengambilan tenaga harian yang berlebihan dalam jangkamasa yang panjang boleh meningkatkan berat badan dan menyebabkan obesiti. Keadaan ini akan menjadi lebih serius sekiranya diet harian adalah tinggi lemak dan kurangnya aktiviti fizikal yang dilakukan.
  • Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (National Health and Morbidity Survey, NHMS) III, 2006 mendapati 29.1% orang dewasa di Malaysia berlebihan berat badan mankala 14.0% pula obes. Ini telah menunjukkan peningkatan berbanding NHMS II, 1996 iaitu masing-masing 16.0% (berlebihan berat badan) dan 4.0% (obes).
  • Obesiti dan berlebihan berat badan meningkatkan risiko mendapat pelbagai jenis penyakit kronik seperti diabetes, darah tinggi dan sakit jantung.
  • Prevalen pesakit diabetes dalam kalangan penduduk yang berumur lebih daripada 30 tahun telah meningkat daripada 8.3% pada tahun 1996 (NHMS II) kepada 14.9% pada tahun 2006 (NHMS III).
  • Gula juga boleh dikaitkan dengan pembentukan karies gigi (dental caries). Data dari Kementerian Kesihatan menunjukkan kadar karies gigi di kalangan kanak-kanak berumur 5 tahun adalah 76.5%  (2005) dan 80.9 % dalam kalangan kanak-kanak yang berumur 6 tahun (1997).

SUMBER ARTIKEL

No comments:

Post a Comment